Pages

Thursday, December 16, 2010

Perkahwinan antara Sayidina Ali dan Siti Fatimah Radiallahu 'anhuma

Fatimah alaihissalam adalah puteri Rasulullah s.a.w yang paling disayang ayahnya kerana disamping dia sebagai wanita yang zahid dari kehidupan duniawi, juga mengingatkan Rasulullah s.a.w dengan Khadijah radiallahuanha, dan dia pun sebagai ibu kepada Saidina Hasan dan Saidina Husin radiallahu anhum, buah hati Rasulullah s.a.w.

Fatimah mempunyai beberapa nama. Al Batuul, Az Zahroo, Ath Thoohiroh, Al Muthohharoh dan kelima Faathimah. Tatkala usianya telah meningkat dewasa, Rasulullah s.a.w merasa sedih melihatnya. Beliau berkata dalam hatinya, " Fatimah sudah tidak mempunyai ibu yang akan mengurus dan menyiapkan perkahwinannya.

Maka turunlah Jibrail alaihissalam, lantas berkata: "Wahai Muhammad, As Salaam (Allah) memberi salam kepadamu, dan mengatakan, 'Janganlah engkau berduka kerana Fatimah sebab Aku lebih menyintainya dibanding kecintaanmu kepadanya, maka serahkanlah urusan perkahwinannya kepadaKu! Aku akan mengahwinkannya dengan orang yang Aku cintai."

Lalu Rasulullah s.a.w bersujud sebagai pernyataan syukur terhadap Allah subhanahuwataala.

Kemudian turunlah Jibrail, Mikail, Israfil dan Izrail, setiap malaikat itu membawa bakul yang memakai tutup (bertutup), dan setiap malaikat ini diiringi oleh seribu malaikat. Mereka meletakkan bakul itu dihadapan Rasulullah s.a.w. Maka Rasulullah s.a.w bertanya, "Apakah ini wahai Jibril?". 

Jibril menjawab,"Allah taala berkata, " Sesungguhnya Aku telah mengahwinkan Fatimah dengan Ali bin Abi Talib dan ini adalah pakaian syurgawi dan buah-buahannya, Aku pakaikan ia dengan pakaian ini dan Aku taburi dengan buah-buahan ini. 

Kemudian Rasulullah s.a.w sujud seraya berkata "Wahai Jibril, sesungguhnya Fatimah rela dengan apa yang aku relai. Aku suka seandainya hadiah-hadiah ini diberikan di akhirat sahaja tidak di dunia. Akan tetapi bagaimanakah gerangan kahwinnya Fatimah di langit itu?".

Jibril menjawab," Wahai Muhammad, bahawasanya Allah taala memerintahkan agar pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup. Kemudian Allah menghias Arash, Kursi, Pohon Tuba dan Sidratul Muntahaa. Lalu Allah memerintahkan Alghilman dan Alwildaan (pelayan-pelayan syurga) supaya mendirikan khemah di tiap-tiap istana, dan pada tiap-tiap kamar didirikan singgahsana-singgahsana, lantas mereka duduk pada jamuan pengantin Fatimah. Dan Allah memerintahkan pula kepada para malaikat muqorrobiin, ruhaaniyyiin, karuubiyyiin untuk berkumpul di bawah pohon Tuba. Kemudian Allah menghembuskan angin sepoi-sepoi di dalam syurga itu. Maka berguguranlah buah-buahannya, alkafoor, misik dan anbar ke atas para malaikat itu. Lalu Allah menyuruh kepada burung-burung syurga menyanyi. Maka bernyanyilah burung-burung itu, sedangkan pada bidadari menari-nari, pohon-pohon menaburkan perhiasan dan permata ke atas mereka.

Setelah itu Allah berkhutbah memuji diriNya dan berkata,"Sesungguhnya Aku telah mengahwinkan Maharatu seluruh wanita dengan Ali bin Ali Talib." Dan Allah berkata kepada Jibril, "Wahai Jibril, engkaulah sebagai wakil daripada Ali dan Aku sebagai wakil RasulKu Muhammad."

Allah mengahwinkannya dan aku (Jibril) menerimanya sebagai wakil Ali bin Abi Talib. Itulah akad nikahnya yang terjadi di langit. Maka akad nikahkanlah olehmu kembali di Bumi.

Maka Rasulullah lalu memberitahu hal itu kepada Saidina Ali karomallaahu wajhahu, juga kepada Fatimah radiallahu anha. 

Kemudian beliau mengumpulkan semua sahabatnya di dalam masjid. Lantas Jibril alaihissalam turun sambil mengatakan, "Sesungguhnya Allah menyuruh Ali agar membacakan khutbah nikahnya sendiri".

Lalau Rasulullah s.a.w meminta kepada Saidina Ali supaya dia sendiri membaca khutbah nikahnya. Maka berkatalah dia, "Segala puji bagi Allah yang Maha Tunggal di dalam keagungan dan kesempurnaan yang telah menciptakan manusia dan membagi-bagi tingkatan makhluknya, yang tidak mirip dengan sesuatu dan tidak ada yang mirip denganNya. Dialah yang telah mencipta hamba-hambaNya di dalam beberapa negeri, diberinya ilham kepada mereka agar dapat menucapkan tasbih dan pujian kepadaNya, maka mereka pun mengucapkan tasbih dan mensucikannya. Dialah Allah yang tidak ada tuhan selainNya, Dia menyuruh hamba-hambanya supaya nikah, maka mereka pun menerimanya. Segala puji bagi Allah atas semua nikmat kurniaNya. 

Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah, suatu kesaksian yang akan sampai kepadanya dan akan direlainya, dan akan menyelamatkan orang yang mengucapkannya pada hari setiap orang lari daripada saudaranya, daripada ibunya, daripada ayahnya, daripada sahabatnya dan daripada anaknya. Semoga selawat dan salam dari Allah untuk Saidina Muhammad An Nabiyil Ummi, yang telah dipilih dan direlaiNya sebagai penerima wahyu daripadaNya. Dan semoga rahmat Allah berlimpah ke atas keluarga, sahabat dan pencintaNya. Pernikahan itu adalah dengan apa yang ditetapkan dan diizinkan Allah. Saya sebagai hamba Allah dan putera hambaNya yang ingin akan keredhaan Allah melamar sebaik-baik wanita sealam semesta, saya berikan mahar untuknya sebanyak 400 dirham dengan tunai, apakah Tuan kahwinkan saya dengannya wahai Rasul Al Amin atas jejak rasul-rasul sebelummu?

Maka menjawablah Rasulullah s.a.w, "Aku kahwinkan Fatimah denganmu wahai Ali, dan Allah pun telah mengahwinkan, meredhai dan memilihmu."

Saidina Ali menyahut, "Saya terima daripada Allah dan daripadamu wahai Rasulullah". 

Tatkala Siti Fatimah mendengar bahawa mas kahwinnya adalah dirham, lalu dia berkata, "Wahai ayahku, bahawasanya semua anak perempuan orang memakai mas kahwin dengan dirham dan dinar, maka apakah bezanya antara orang itu denganmu? aku meminta agar mas kahwinku adalah berupa syafaat bagi orang yang maksiat di antara umatmu."

Lantas turunlah Jibril alaihissalam pada saat itu juga sambil membawa secarik sutera yang bertuliskan "Allah menjadikan mas kahwin Siti Fatimah Az Zahroo puteri Muhammad Al Musthofaa berupa syafaat bagi orang yang berdosa di antara umatnya.

Siti Fatimah berwasiat agar apabila dia meninggalkan dunia yang fana carikan sutera tersebut diletakkan pada kafannya, dia berkata "Jika aku dibangkitkan kelak di padang masyar maka aku akan mengangkat carikan sutera ini dan akan memberikan syafaat bagi umat ayahku".

Petikan daripada;
7 Rahsia Langit dan Bumi, Asy Sheikh Al Imamul Ajalu, Abu Nashr Muhammad bin Abdurrahman Al Hamdan. 2010.

0 comments:

Post a Comment